Pergerakan Puteri UMNO kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Ahmad Shah Mohd. Zin mengenai kebimbangan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.
Ternyata kebimbangan tersebut tidak berasas sama sekali dan menunjukkan kecetekan fikiran pemimpin pertubuhan itu sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur pandangan tidak adil terhadap wanita.
Puteri percaya dan yakin pertambahan penjawat awam wanita seperti yang ditegaskan Cuepacs (hampir tiga perempat jawatan baru dalam perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) diisi oleh wanita) adalah disokong oleh kebolehan serta keupayaan wanita itu sendiri.
Dan perkembangan itu sama sekali tidak akan memberi kesan jangka panjang terhadap kemajuan dan pembangunan negara seperti yang didakwa oleh Cuepacs.
Kenyataan yang disiarkan oleh Bernama itu ternyata bertentangan dengan aspirasi kesaksamaan gender yang diuar-uarkan oleh kerajaan selain menidakkan kebolehan dan keupayaan golongan wanita itu sendiri.
Cuepacs sepatutnya mencari jalan dan melihat faktor yang menyebabkan kekurangan kaum lelaki dalam jawatan sebagai pembuat dasar terutamanya dari sudut jumlah penuntut wanita di institusi pengajian tinggi yang sentiasa melebihi kaum lelaki.
Kenyataan bahawa dasar kerajaan sekarang hanya memperuntukkan 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita juga dinilai secara tidak tepat oleh Cuepacs.
Penetapan itu hanya melibatkan jawatan tertinggi dalam pentadbiran yang sehingga kini belum tercapai dan tidak terpakai kepada taraf yang selainnya termasuk sebagai PTD yang baru.
Puteri UMNO kesal kerana penyertaan wanita dalam perkhidmatan awam yang semestinya berasaskan merit dan kelebihan yang dimiliki dilihat sebagai mempunyai implikasi jangka panjang dalam pembangunan negara.
Ini kerana dalam banyak bidang biar pun wanita ternyata mempunyai kebolehan serta kelulusan akademik yang lebih baik daripada lelaki tetapi mereka tidak mendapat tempat di peringkat pembuat keputusan.
Sehubungan itu, Pergerakan Puteri UMNO mahu Setiausaha Agung Cuepacs memikirkan semula kenyataan beliau yang ternyata tidak mengambil kira sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara semata-mata kerana tidak boleh menerima hakikat bahawa jumlah wanita berkebolehan sekarang ini melebihi kaum lelaki.
Pergerakan Puteri UMNO juga percaya, dalam apa bidang sekali pun, penglibatan wanita adalah berasaskan merit dan ia sepatutnya seimbang dengan penyertaan kaum lelaki.
Thursday, March 18, 2010
MENGENAI KEBIMBANGAN CUEPACS DALAM PENINGKATAN PENGUASAAN PENJAWAT WANITA DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment